Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini
telah diadakan pada 14 Julai 2016 di Dewan Sekolah Tinggi Segamat. Majlis ini
diadakan bagi meraikan perayaan Aidilfitri yang melibatkan seluruh pelajar
tingkatan 6 Sekolah Tinggi Segamat. Walaupun diadakan pada skala yang
sederhana, namun kemeriahannya dapat dirasai dan mencapai objektif utama majlis
itu diadakan iaitu merapatkan hubungan silaturahim sesama warga tingkatan 6. Penganjuran
aktiviti ini juga diadakan bagi menepati Aspirasi ke-4 Sistem Pendidikan
Malaysia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (
PPPM ) yang memberi penekanan kepada aspek perpaduan dalam kalangan pelajar.
Majlis bermula pada jam 12 tengahari dan dimulakan
dengan bacaan doa dari Muhammad Faris Afiq bin Hairolkamal diikuti dengan alunan
selawat dari pelajar muslim yang diketuai oleh Mohd Radhi bin Farais. Majlis
juga dipengerusikan oleh Mohd Radhi bin Farais dan Nur Azlin bin Muzalan. Majlis
dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tuan Pengetua, Tuan Haji Othman bin Md Nor
dan Penolong Kanan Pra U, Puan Hajah Che Jah binti Mohamed serta tenaga
pengajar tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Segamat.
Majlis diteruskan dengan ucapan dari Pengerusi
MPPPU, Tan Hong Kin. Beliau menyentuh mengenai silaturahim yang semakin erat
berikutan dengan majlis ini. Beliau percaya akan wujud rasa persefahaman dan
toleransi yang menebal dalam diri pelajar Pra U di samping mengucapkan Selamat
Hari Raya buat pelajar muslim.
Seterusnya, ucapan dari Puan Hajah Che Jah
binti Mohamed. Beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh
warga tingkatan 6 Sekolah Tinggi Segamat. Beliau juga menekankan tentang
kelancaran pengurusan majlis yang semakin baik di samping meminta maaf jika ada
sebarang salah dan silap semasa beliau menjalankan tugas sebagai Penolong Kanan
Pra U di sekolah ini.
Majlis disambung dengan ucapan dari Pengetua,
Tuan Haji Othman bin Md Nor. Beliau berharap supaya majlis seperti ini menjadi
tali penghubung bagi mengeratkan silaturahim antara pelajar dan guru. Beliau
juga bangga dan gembira melihat suasana ceria yang wujud sepanjang majlis
berlangsung tanpa mengira bangsa dan agama.
Pada jam 1.20 petang , acara yang dinantikan
telah tiba iaitu persembahan daripada pelajar Pra U yang dimulakan oleh pelajar
Lower 6 Sains yang membawa lagu Hari Raya. Majlis dimeriahkan lagi dengan
persembahan dari peljar Lower 6 Arts yang membawa lagu Suasana Hari Raya. Para
hadirin menjamu selera sambil menyaksikan persembahan – persembahan yang
mencuit hati.
No comments:
Post a Comment