USAHA TERBAIK HASIL BERKUALITI MPPPU SEKOLAH TINGGI SEGAMAT

Monday 25 July 2016

MAJLIS LAMBAIAN KASIH SANJUNGAN BUDI (19 JULAI 2016)



Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi ini diadakan khas buat meraikan perpindahan Penolong Kanan Pra U, Puan Hajah Che Jah binti Mohamed ke Kota Bharu, Kelantan. Beliau berkhidmat di Sekolah Tinggi Segamat selama 10 tahun. Beliau pernah bertugas di 10 buah sekolah menengah yang lain sejak beliau memulakan karier sebagai guru pada tahun 1984. Beliau menjawat jawatan Penolong Kanan Tingkatan 6 bermula pada tahun 2009. Beliau merupakan guru pertama yang mendapat jawatan tersebut di Malaysia. Beliau juga mengajar matapelajaran Bahasa Melayu tingkatan 6 rendah dan tingkatan 6 atas. Beliau merupakan guru yang periang serta mempunyai sifat keibuan yang tinggi. Beliau tidak pernah lokek dari segi kewangan mahupun tenaga sepanjang mentadbir urus tingkatan 6 Sekolah Tinggi Segamat. Puan Hajah Che Jah juga sentiasa menggalakkan guru-guru melakukan yang terbaik untuk memastikan pelajar-pelajar tingkatan 6 Sekolah Tinggi Segamat mendapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan STPM.

Majlis dimulakan tepat jam 1 petang di Dewan Sekolah Tinggi Segamat. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran para pelajar tingkatan 6 serta guru-guru tingkatan 6 dan yang diraikan Puan Hajah Che Jah binti Mohamed dengan diiringi oleh Pengetua, Tuan Haji Othman bin Md Nor.



Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mohd Radhi bin Mohd Farais. Diteruskan dengan ucapan dari pengerusi MPPPU, Tan Hong Kin. Beliau merakamkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama-sama dengan Puan Hajah Che Jah sehingga menghadapi peperiksaan STPM. Beliau juga berterima kasih kerana sudi membimbing dan mengajar beliau erti kepimpinan.


Majlis diteruskan dengan ucapan dari Puan Rokiah binti Marjan. Beliau mengungkapkan rasa sedih kerana ingin berpisah setelah sekian lama berkhidmat di Sekolah Tinggi Segamat bersama-sama. Beliau juga berat hati ingin melepaskan seorang rakan guru yang komited dalam kerjanya serta berwawasan tinggi. Beliau berharap supaya Puan Hajah Che Jah lebih maju di sekolah barunya.


Seterusnya, ucapan daripada yang diraikan Puan Hajah Che Jah binti Mohamed. Beliau menyatakan perasaan berbaur yang hadir dalam hati beliau. Beliau gembira kerana permohonan pertukaran sekolah yang sekian lama dihajatinya telah diluluskan. Namun begitu, beliau amat sedih kerana terpaksa berpindah di pertengahan tahun tanpa sempat bersama-sama dengan pelajar tingkatan 6 atas menghadapi peperiksaan STPM. Beliau berharap agar pelajar tingkatan 6 dapat membuat anjakan paradigma untuk keputusan STPM yang bakal menjelang tidak lama lagi. Beliau juga berharap agar kepimpinan MPPPU akan terus meningkat dari masa ke masa. Beliau sempat mengucapkan selamat maju jaya buat pelajar tingkatan 6 dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.



Majlis dihangatkan lagi dengan ucapan daripada Pengetua, Tuan Haji Othman Bin Md Nor yang seolah-olah sukar untuk melepaskan Puan Hajah Che Jah berpindah ke Kota Bharu. Namun begitu, beliau berharap supaya kepemimpinan Puan Hajah Che Jah di sana lebih baik berbanding di Sekolah Tinggi Segamat agar sedikit sebanyak dapat mengharumkan nama sekolah


 Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dari MPPPU dan wakil pelajar dari setiap kelas










Majlis dimeriahkan dengan persembahan dari pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah dan Tingkatan 6 Atas.










Kemeriahan bertukar menjadi sayu apabila alunan lagu Perpisahan Termanis menguasai setiap penjuru dewan. Puan Hajah Che Jah dijemput memotong kek seterusnya sesi bergambar bersama guru berjalan.






Acara yang terakhir adalah Majlis ‘ send off ’ atau Lambaian Kasih. Suasana gamat bertukar menjadi sayu apabila pelajar-pelajar mula salam-bersalaman dengan yang diraikan Puan Hajah Che Jah.


No comments:

Post a Comment